FB BANNER WEB

PASUKAN BERBASIKAL USM CEMERLANG DI SUKUM 2016

IMG 3823

NILAI - 13 OGOS 2016. Skuad berbasikal Universiti Sains Malaysia sekali lagi mempamerkan kayuhan cemerlang di Kejohanan Sukan Staf IPTA Malaysia (SUKUM) bagi tahun 2016 apabila sekali lagi menjadi pasukan terbaik acara berbasikal untuk tiga tahun berturut-turut.

Acara berbasikal pada tahun ini medapat perhatian ramai apabila sebanyak 15 IPTA telah menghantar pasukan terbaik masing-masing bagi merebut piala yang dipertandingkan. Seramai lebih 100 pelumba dilepaskan pada pagi perlumbaaan yang melibatkan sebanyak empat kategori. USM telah menghantar tiga daripada empat kategori yang dipertandingkan dan berjaya membawa balik pingat bagi semua acara yang disertai.

IMG 3731

USM berjaya merampas kembali pingat emas bagi acara Senior Individu tahun ini apabila pelumba sandaran utama, Abdul Halim Che Aat kali ini berjaya mempersembahkan kayuhan mantap dengan mendahului pelumba Universiti Malaysia Terengganu di tempat kedua dan juga Universiti Malaysia Perlis di tempat ketiga dan seterusnya membantu pasukan USM dan acara berpasukan Senior apabila berjaya mendahului kutipan masa keseluruhan di hadapan UiTM dan juga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Bagi acara veteran pula, USM berjaya memperbaiki rekod tahun lepas apabila berjaya mendapat pingat Perak bagi acara berpasukan apabila ketinggalan hanya 8 saat di belakang pendahulu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kekecewaan jelas terpancar di wajah pelumba veteran, En. Zainal Arif apabila hanya 1 saat memisahkan beliau dengan pingat gangsa acara individu veteran.

Pada tahun ini acara heavyweight dipertandingkan dan USM telah memberi harapan tinggi kepada satu-satunya pelumba kategori ini, En. Mohd Syawal Faizal dan ternyata penat lelah beliau berbaloi apabila beliau berjaya menambah pingat bagi pasukan USM dengan mendapat pingat gangsa.

Jurulatih pasukan berbasikal, En. Eddie Norshamshidie berkata, "Kejayaan pada kali ini membutikan bahawa dengan semangat juang yang ada serta komitmen dan semangat berkumpulan mampu menjadikan kita pasukan yang lebih baik" .

Pengarah Pusat Sukan & Rekreasi, En. Mohd Hanif Mohamad juga turut bersama-sama pasukan berbasikal pada hari perlumbaan memberi sokongan dan juga turut meraikan kejayaan pada kali ini.

Secara keseluruhan, pasukan berbasikal USM membawa pulang 2 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa serta membawa pulang Piala Iringan pasukan berbasikal terbaik pada kejohanan kali ini.

Pihak pengurusan pasukan juga turut merakamkan jutaan terima kasih kepada KKSSK yang selama ini menjadi tulang belakang dalam perkembangan pasukan berbasikal USM dan juga rakaman penghargaan kepada semua pihak yang turut hadir di hari perlumbaan dan memberi sokongan kepada pasukan

Di harapkan dengan kejayaan "hatrik" ini, pasukan berbasikal USM akan lebih mantap dan terus menempa kejayaan pada peringkat yang lebih tinggi.

Exco Publisiti
KKSSSK