FB BANNER WEB

PERLAWANAN BOLASEPAK PERSAHABATAN MENENTANG IPD JAWI

DSC 0740

NIBONG TEBAL, 12 September 2015 –  Perlawanan persahabatan bola sepak antara USM KKSSK FC dengan IPD Jawi di sini semalam menjadi landasan terbaik dalam mengeratkan hubungan warga kampus dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya bagi daerah Seberang Perai Selatan.

Pengurus Pasukan, Mohd Fazley Yusof berkata pasukan ini ditubuhkan dua tahun yang lalu hasil daripada pertandingan Sukan Antara Jabatan (SUKJAB) anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kampus Kejuruteraan (KKSSK).

“Pemain-pemain kita terdiri daripada pelbagai kategori termasuk kakitangan akademik, teknikal, pentadbiran dan juga pelbagai usia”, katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Padang A, Kompleks Sukan, Kampus Kejuruteraan.

Menurut Fazley, pihaknya akan mengadakan pertandingan bola sepak berskala kecil dalam masa terdekat dengan pasukan-pasukan dari organisasi kerajaan yang lain dan kelab sekitar Kampus Kejuruteraan untuk pembangunan bola sepak universiti khususnya.

“Sebenarnya kita mempunyai ramai pemain berkualiti dan hebat yang hanya perlu dicungkil bakat mereka dengan mengadakan perlawanan lebih kerap dengan pasukan luar”, tambahnya lagi.

Dalam perlawanan yang berlansung selama 95 minit itu menyaksikan USM KKSSK FC berjaya menundukkan IPD Jawi 5 – 0.

Pesta gol bermula pada babak pertama menerusi pemain penyerang Muhammad Syazwan Najmi Said pada minit ke 35 sebelum pemain sayap kiri Muhammad Syazwan Mohd Noor meledakkan gol kedua pada minit ke 46 untuk USM mendahului 2-0.

Asakan bertali arus dari pasukan USM akhirnya membuahkan hasil apabila Dr. Norizham Abdul Razak dengan mudah menjaringkan gol ketiga pada minit ke 61 hasil sepakan penjuru yang begitu menarik disempurnakan oleh Mohd. Suharudin Sulong.

DSC 0890

Seperti dijangka, pemain tengah berpengalaman, Rosman Osman berjaya menyumbang dua gol pada pada minit ke 76 hasil tendangan terus dari sisi kanan menggegarkan gawang gol lawan dan dengan mudah menyumbat gol ke 5 pada minit akhir sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil.

Sementara itu, jurulatih pasukan yang juga bekas pemain bola sepak universiti, Ahmad Yazid Yahya menyatakan rasa syukur atas kelancaran perlawanan persahabatan tersebut tanpa ada sebarang pergaduhan dan kecederaan pemain. 
“Pemain-pemain mengikut setiap arahan dan bermain dengan penuh semangat walaupun tidak mempunyai latihan yang mencukupi”, kata Ahmad Yazid.

Tambahnya, keserasian dan kerjasama antara pemain merupakan kunci kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Pengerusi, Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kampus Kejuruteraan (KKSSK), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Ketua Polis, Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Wan Hassan Wan Ahmad.

Klik SINI untuk melihat lebih banyak gambar kejohanan

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Abdul Hafiz Abdul Hamid